Sunday 27 February 2011

hadiah untuk diriku- kategori cerpen tempat pertama medic creative day

KURNIAAN DALAM PENDERITAAN
           
            Hidayah  menghadap laptop kesayangannya. Sekali sekala jari jemarinya menekan papan kekunci sambil mindanya galak mencari idea. Fuh, susahnya nak dapat ilham, rungutnya. Bidang penulisan sudah lama dia tinggalkan.Jika dahulu senang sahaja dia merungkaikan tema menjadi satu jalan cerita yang amat menarik. Hidayah termenung lama, dibiarkan angin pantai menampar lembut  pipinya. Sayup-sayup kedengaran ceramah  dari corong radio IKIM. Kata-kata Ustaz Zainal itu amat berkesan dihatinya, ‘’ di saat kamu bergelak ketawa , ingatkah  kamu pada mereka yang bersusah payah meneruskan hidup? Bukan semua insan di dunia ini dilahirkan untuk menikmati kemewahan....‘’ Dengan lafaz basmalah, Hidayah memulakan karyanya.
........Seperti pagi-pagi sebelumnya, Awwal melangkah pantas meredah keheningan Subuh. Pagi itu, dia ada misi yang harus dilaksanakan. Wajah tua ibunya bermain di ruang mata. Awwal akur, wajah itulah yang menjadi penguat semangatnya. Air mata lelakinya  hampir tumpah tetapi cepat-cepat ditahan. Dengan berbekalkan karung hitam yang dibawa dari rumah, Awwal mengutip tin-tin kosong di tepi jalan. Walaupun rutinnya hanya sebagai pengutip tin, tetapi pekerjaan itu masih ada persaingan. Disebabkan  itu, Awwal terpaksa menggagahkan diri, bangun di pagi hari yang mana anak-anak sebayanya bersiap sedia untuk ke sekolah. Satu demi satu tin kosong dimasukkan ke dalam karung.Berdeting bunyinya. Awwal tersenyum puas. Belum sempat matahari menonjolkan diri, dua karung miliknya sudah penuh berisi.
            Tanpa berlengah-lengah, dia terus menuju ke kilang kitar semula. Perjalanan ke sana, kiranya mengambil masa hampir sejam. Kakinya sudah tidak berasa leguh lagi. Laluan itu sudah dihafalnya sejak tiga tahun yang lalu. Jika dahulu, ada juga ibunya sebagai teman berbicara sepanjang perjalanan. Tetapi, sejak ibunya jatuh sakit, Awwal tahu dia harus mengambil alih tanggungjawab itu.  Peluh dingin menitik di dahi. Bunyi loceng dari sekolah berdekatan mengejutnya daripada lamunan. Awwal tercegat di luar pagar, matanya sayu memandang para pelajar yang berlari-lari anak menuju ke tapak perhimpunan. Betapa dia ingin menyarungkan uniform sekolah itu ke badannya, menyandang beg yang berisi buku, menimba ilmu bersama kawan-kawan. Awwal tunduk memandang dirinya. Kasut ‘Sneakers’ hasil titik peluhnya masih dipakai walaupun kakinya kian membesar.. Kasut lusuh itulah yang banyak berjasa kepadanya, masih boleh melindungi kakinya bagi meneruskan hidup. Awwal mengosok-gosok lengannya yang jelas menampakkan urat-urat hijau, tidak sebanding dengan umurnya yang baru mencecah 15 tahun. Urat-urat yang timbul itu mungkin boleh menjadi bukti kerja kerasnya selama ini.    
            Di saat matahari malu-malu memancarkan sinarnya pagi itu, Awwal telahpun sampai di depan pintu pagar kilang kitar semula itu. Bajunya lencun dibasahi keringat. Seperti biasa, Pak Mat pasti akan  menunggunya. ‘’ Pak Mat, ini saja yang dapat saya kutip pagi ni,’’ ujar Awwal, lemah sekali suaranya. Tangannya dihulur, meminta upah. Lantas wang kertas lima ringgit bertukar  tangan. Awwal bersyukur. Walaupun upah yang diterima tidak seberapa, tetapi wang itu halal untuk sesuap nasi. Susah payahnya tidak berakhir di situ. Dia menuju ke warung milik seorang lebai, bukan untuk mengisi perut yang sememangnya kosong sebaliknya dia diupah untuk mencuci pinggan. Ada juga insan yang bersimpati akan dirinya, yang tidak hanya menilai dari luaran semata-mata.Kadang kala, Awwal merasakan dunia ini memandang enteng kepadanya. Dimanakah keadilan untuk orang yang tertindas sepertinya?! Awwal mendengus berat.
            Setiap detik diisi dengan perkara yang boleh mendatangkan hasil. Awwal berjalan pulang sambil membimbit plastik berisi sebungkus nasi dan bekalan ubat untuk ibunya. Walaupun terpaksa menebalkan muka untuk berhutang, tetapi keperluan ibunya harus dijaga. Sore itu,di tepi lorong, matanya tertancap kepada sekumpulan anak muda, kelihatan begitu bangga meneguk air syaitan. Botol yang kosong dihempas kuat. Kaca bertaburan di jalanan, lebihan air itu meleleh keluar, mengotori permukaan jalan itu, persis jiwa dan hati mereka yang telah dinodai oleh air haram itu. Awwal menggeleng-geleng kepalanya. Sesungguhnya merekalah yang paling layak dikasihani berbanding dirinya. Pemandangan di sekitar lorong itu sememangnya menjijikkan. Laluan itu terpaksa dilaluinya untuk pulang ke rumah, walaupun sudah banyak kali imannya hampir tewas dengan pujukan iblis. Dia beristighfar di dalam hati. Semiskin dan sehina manapun hidupnya, Awwal tidak akan sekali-kali menggunakan cara kotor seperti  itu untuk melepaskan tekanan.
            Di sebalik timbunan sampah perkampungan setinggan itu, sepasang makhluk sedang leka mencederakan diri masing-masing dengan tusukan jarum .Badan mereka yang kurus kering itu menampakkan tulang belulang yang jelas dapat dikira oleh sesiapa yang melihatnya.Entah apa yang dicucuknya, Awwal tidak tahu dan dia tidak mahu ambil tahu. Yang jelas, ‘benda’ itulah yang telah meragut nyawa ayahnya. Mindanya ligat mengimbau kisah silam dua tahun dahulu. Seorang ayah yang dianggap  pahlawan di matanya, rupa-rupanya pengkhianati bangsa. Kesalahan ayahnya dirasakan begitu besar dan Awwal masih tidak dapat memaafkannya. Jika dahulu, ayahnya tidak menyentuh najis dadah itu, hidupnya tidak akan menderita sebegini. Pasti sekarang, dia berada di dalam kelas, menimba ilmu bersama rakan-rakan. Digelar anak penghidap AIDS menyebabkan Awwal dan ibunya dipulaukan oleh masyarakat, apatah lagi hidupnya yang amat daif. Mana mungkin dia dapat menyesuaikan diri orang sekeliling.
            Hujan yang turun mulai membasahi tubuh Awwal, ibarat turut menangisi segala kesengsaraan yang ditanggungnya. Awwal harus cepat sampai ke rumah, air hujan itu adalah satu rahmat buat keluarganya. Lantas dicapainya besen sederhana besar dan ditadahnya air hujan itu. Itulah satu-satunya bekalan air bersih yang dapat diperoleh di kawasan setinggan di pinggir Kuala Lumpur itu. Nikmat Allah tidak pernah disia-siakan. Awwal terbaring, matanya terpaku memandang  siling rumah yang dipenuhi sawang. Atap rumah yang bocor tanpa belas kasihan membiarkan air hujan menitik di atas mukanya. Dia tetap tidak berganjak daripada tempat pembaringan. Sayup-sayup, di ruang dapur  kedengaran suara ibu yang sesak menahan batuk. Sejujurnya, hati Awwal sebak mendengar suara itu.
‘’Awwal...mari sini, nak,’’ panggil si ibu.  Lambat Awwal bangun menuju ke dapur. Si ibu sedang membahagikan nasi yang dibawa pulang kepada dua bahagian. Dihulurkan bahagian yang banyak itu kepada Awwal. ‘’Ini untuk Awwal, makan ye,’’ kata-kata si ibu menambah duka di hatinya.Ditatapnya nasi berlaukkan ikan kering dan sedikit ulam yang dipetik semasa pulang tadi dengan pandangan kosong.
            ‘’ Kalaulah dulu ayah tidak menjadi penagih, hidup kita tidaklah seteruk ini, bu,’’ entah macam mana kata-kata itu terhambur daripada mulutnya. Si ibu tersentak, membatalkan hasrat untuk menyuakan nasi ke mulut. Dipandangnya Awwal, anak lelaki tunggal yang banyak berkorban untuk dirinya. Sedikit sebanyak sikap panas baran arwah suaminya mengalir dalam tubuh anaknya itu.
            ‘’ Awwal menyesal hidup susah begini?’’ tanya si ibu. Awwal terdiam, membiarkan suasana menjadi sunyi sepi. Rasa bersalah menerpa di dada.
            ‘’Ibu bangga dengan kamu. Kesusahan inilah yang menjadikan kamu kuat suatu hari nanti,nak’’ tutur si ibu perlahan. 
            ‘’Tapi bu, Awwal tidak kuat. Awwal tidak mahu hidup susah lagi.Yang jelas,masa depan Awwal kabur sekali. Apa mungkin, tanpa ilmu Awwal boleh berjaya, bu? Awwal malu, bu..malu,’’ teresak-esak dia menangis, yang selama ini ditahannya. Si ibu terkedu.
            Hujan mulai reda. Bunyi cengkerik di luar rumah menghiasi suasana sepi itu. Di saat mata Awwal hampir terkatup, kedengaran ketukan bertalu-talu di muka pintu. Entah siapa yang sudi datang ke rumah usangnya itu. Dikuaknya daun pintu. ‘’Assalamualaikum,’’ sapa tetamu tak diundang itu, lembut sekali suaranya. Ditenungnya tetamu itu dengan pandangan yang penuh dengan tanda tanya. Masakan ibunya mempunyai teman bekerjaya seperti itu.
            Wanita dalam lingkungan 30 an yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor, Dr Ummu itu duduk bersimpuh di hadapan  mereka berdua. Manis sungguh wajahnya persis bidadari yang turun dari kayangan. Tutur bicara yang sopan menambah debar di hati Awwal. Cepat-cepat Awwal sedar diri. ‘’ Apa tujuan anak datang ke rumah mak cik yang buruk ini? Jarang sekali kami menerima kunjungan seperti ini,’’ tanya si ibu ingin tahu. Awwal hanya menunduk, malu memandang wajah di hadapannnya itu.  Dengan tersenyum, wanita yang layak digelar kakak oleh Awwal itu mencelah, ‘’ Sebenarnya, saya sudah banyak kali terserempak dengan kamu dalam perjalanan ke tempat kerja. Saya bangga melihat kegigihan kamu. Walaupun ditimpa kesempitan hidup sebegini, kamu tidak terjerumus dengan perkara yang tidak elok.’’
            ‘’ Err,maksud doktor, selama ini doktor mengekori saya?’’ tanya Awwal, tidak puas hati.
            ‘’ Tidak perlu berdoktor- doktor dengan saya. Anggaplah kedatangan saya ini sebagai seorang kakak kamu, Awwal. Maafkan kakak. tetapi keinginan kakak untuk membantu kamu mendorong kakak ke sini. Inilah impian yang akak idam-idamkan sejak dulu. Harapnya, kalian sudi menerima bantuan saya.’’
                                                            .........................
            Kedatangan wanita yang berhati malaikat itu ibarat dihantar Tuhan untuk keluarganya. Masih terngiang-ngiang ditelinga  Awwal nasihat yang dititipkan untuknya seminggu lalu sewaktu mengiringi doktor itu pulang ‘’ Kesusahan yang kamu alami ini tidak dapat dibandingkan dengan perjuangan anak-anak di Palestin sana. Mereka berjuang untuk hidup dalam keadaan negaranya yang tidak pernah aman, bermandi darah. Seharusnya, kita perlu bersyukur dengan segala nikmat yang dianugerah Tuhan. Walau sebesar manapun ujian yang diberi, pasti ada hikmahnya.Kepayahan ini menjadikan kamu lebih kuat dan matang, itulah yang membezakan kamu dengan rakan seusia kamu yang lain.Usah diulangi sejarah bapa kamu dan jangan sekali-kali Awwal membencinya.Mungkin arwah bapa Awwal tersilap langkah dan memilih jalan itu. Ingatlah janji Allah itu pasti kerana dalam susah itu ada senangnya.’’ Awwal mengakui kata-kata itu. Dia tersenyum. Allah masih menyayangi dirinya.
            Awwal dan ibunya amat terkejut tatkala Dr Ummu menyuarakan hasratnya untuk menjadikan mereka sebagai keluarga angkat. Segala keperluan dan kebajikan akan ditanggung.Ini bermakna dia masih berpeluang untuk menyambung pelajaran. Si ibu menangis sambil menadah tangan mengucap syukur. Masih ada insan berhati luhur seperti Dr Ummu. Tetapi, Awwal masih ada persoalan yang belum terjawab. Adakah wanita itu pernah mengalami kesusahan sepertinya dahulu? Adakah dia juga anak yatim sepertinya? Disimpannya persoalan itu di sudut hati. Baginya, untuk melakukan kebaikan tidak memerlukan sebab. Dia tertidur dalam senyuman, tidak sabar  menanti hari esok yang pasti akan menjanjikan harapan.
            Sesungguhnya, Allah bersama dengan orang yang sabar, dijelaskan dalam surah Taha ayat 130, ‘’ Maka sabarlah engkau (Muhammad) atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, sebelum matahari terbenam; dan bertasbihlah (pula) pada waktu malam dan di hujung siang hari, agar engkau merasa tenang.’’
            Hidayah mengucap Alhamdulillah.Segala ideanya telah siap dinukilkan. Sedikit sebanyak Hidayah menyelitkan pengalaman hidupnya sendiri. Secara tidak langsung kuranglah sedikit beban perasaan yang ditanggungnya. Lagu Rahmat Ujian nyanyian kumpulan Mestica bergema di ruang tamu. Dia terus menekan butang ‘save’ dan menyimpan karyanya  itu. 

syukur aku ke hadrat Allah.... video itu hasil kreativiti kawan2 medik sekalian... i'm really appreciate it... semoga aku diberi kekuatan dan ketajaman akal agar bakat ini tidak disia siakan, untuk menjadi penulis yg daie, mungkin aku masih belum mamputetapi, niatku biarlah ia dapat memperbaiki diriku dan pembaca yg sudi singgah di sini......insya Allah....:))

sesuatu mengenai aku

alhamdulillah segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam...


aku diberi ruang waktu
untuk bernafas di muka bumi ini
kasih sayang Allah melimpah ruah
di sebalik dugaan yg mendatang....
siapa aku untuk menafikan segala ketentuanMu
Kau berikan aku kejayaan demi kejayaan
walaupun kekadang aku lupa padaMu

ya... sesuatu telah mendorong aku untuk berkongsi pengalaman di sini
masa yg seringkali dihabiskan dengan mentelaah
jarang sekali digunakan untuk mendekatkan diri padaMu
ketenangan yg ku cari moga kuperoleh...

aku insan biasa....
tiada apa yg istimewa
walaupun digelar sebagai student medic
tapi..masih banyak kurangnya
aku dahagakan ilmu agama
bukan sekadar ilmu duniawi semata-mata

niatku...jika suatu hari nanti Allah kabulkan cita-citaku
be a muslim doc with humanistic values....

.....biarkan aku menyumbangkan sesuatu untuk Islam......


I am a girl with nothing, but i deserve to have everything